
Ramai dalam kalangan kita menyangkakan bahawa sosialis atau komunis atau secara akademiknya teori radikal sebagai alternatif kepada teori kapitalis. Tidak kurang juga bermati-matian mempertahankan kapitalis sebagai satu-satunya falsafah ekonomi dan pembangunan yang patut dilaksanakan. Tetapi bagi pandangan Islam kedua-dua teori ini dalam satu paradigma yang sama.
Mengapa dikatakan dalam satu paradigma yang sama oleh Islam ialah kerana mereka berasaskan kepada prinsip dan keyakinan yang sama.
Manusia merupakan makhluk ekonomi dan kepenggunaan menjadi satu ukuran mutlak berjaya atau tidak pembangunan yang dilaksanakan, andaian dan keyakinan ini bukan sahaja wujud dalam kapitalis tetapi juga merupakan andaian dan keyakinan yang ada dalam sistem sosialisma.
Andaian lain yang sama ialah kedua-duanya mengakui bahawa sumber alam ini adalah terhad(scarcity of resource) dan kemahuan manusia tidak terhad(unlimited wants).

Keyakinan yang ketiga ialah hanya dengan mengikuti jejak barat sahaja, budaya manusia boleh menjadi maju. Hal ini kerana kedua-dua teori ini berasal dari barat. Epistemologi keduanya bersifat Eurocentric dan Western ethno-centric
Jadi ternyatalah kedua-dua teori ini berada dalam paradigma yang sama walaupun nampak berbeza. Oleh itu kedua-duanya tidak boleh menyelesaikan kemelut dan menyelesaikan masalah akar umbi, malah terus menganjurkan dua perkara yang menjadi konflik iaitu kepenggunaan dan hak milik.
Walaubagaimanapun ada juga yang menyatakan mereka tidak mengamalkan sosialis tulen ataupun liberal kapitalis tulen sebaliknya mereka sosialis Islam dan Kapitalis Islam.
Pandangan ini adalah salah kerana epistemology ilmu teori pembangunan Sosialis dan Kapitalis berakar umbi dari pemikiran barat, manakala , Islam pula berakar umbi dari empat sumber utama iaitu al-Quran, Hadis, Ijma’ dan kias ulama’.
Mana mungkin sumber pemikiran barat ini dijalingabungkan dengan Islam. Sedangkan Islam mempunyai tassawur sendiri dan kedua-dua falsafah yang gabung dengan Islam itu tidak boleh disandarkan kepada Islam selagi tidak keluar dari paradigma kedua-dua falsafah tersebut.
Islam mesti lahir dari acuannya sendiri yang merupakan perintah Allah s.w.t maka ia tidak boleh dicampur adukkan dengan teori-teori yang datang selepas Islam.
Jelaslah kepada kita bahawa kedua-dua falsafah yang disebut sebagai falsafah yang lazim kepada ekonomi dan pembangunan ini sebenarnya tidak boleh menyelesaikan konflik yang wujud pada hari ini iaitu hak milik dan kepenggunaan. Untuk menyelesaikan masalah ini bukanlah dengan kapitalisme Islam atau Sosialisme Islam sebaliknya jika ingin mengambil Islam sebagai penyelesai konflik laksanakanlah Islam dari tassawur yang jelas.
Read more...